Friday, March 23, 2012

Kisah Kelawar, Mamalia dan Burung

Pernahkah anda mendengar satu kisah dari orang tua-tua. Satu cerita mengenai satu perang besar pada suatu masa dahulu....ok, kalau tak berapa nk ingat, meh aku cerita....begini lebih kurang cerita dia....

Pada suatu masa dahulu, pada zaman haiwan-haiwan boleh berkata-kata, berlaku satu peperangan antara haiwan-haiwan yang berjalan di atas muka bumi dengan haiwan-haiwan yg juga berjalan di atas muka bumi, tetapi mempunyai kelebihan, iaitu mempunyai sayap, dan dapat tebang tinggi di angkasa raya.

Punca sebenar perang, tidak lah pula diketahui, mungkin akibat cemburu atau berebut kawasan dan sumber makanan barangkali. Tetapi yang pasti, perang tersebut sangat dahsyat dan telah meragut banyak nyawa juga telah berlarutan selama bertahun- tahun lamanya.

Perang yang melibatkan puak yang mempunyai taring dan cakar dengan puak yang mempunyai cakar dan sayap, telah menjadi semakin kompleks dan sulit, sehingga istilah yang agak moden telah digunapakai oleh kedua-dua pihak. Satu pihak yang berjalan diatas muka bumi dan tidak boleh terbang dinamakan sebagai mamalia, dan satu pihak lagi dinamakan spesies burung. Maka satu istilah baru telah diterima, dan peperangan tersebut telah dikenali sebagai peperangan antara spesies mamalia di muka bumi dengan spesies burung. Perang berlaku makin dahsyat.

Hatta, di dalam keadaan yang kelam-kelibut akibat peperangan yang makin hari makin dahsyat itu, wujudlah satu watak kecil yang dinamakan sebagai haiwan kelawar. Maka haiwan yang dikenali sebagai kelawar ini, seperti mereka-mereka yang agak berkecuali pada mulanya, telah nampak peluang dari keadaan peperangan ini, dan cubalah mereka untuk menangguk di air yang keruh bagi mendapat sesuatu dari keadaan yang kucar-kacir ini.

Seperti yang kita sedia maklum, haiwan kelawar ini adalah dari spesies mamalia dan boleh terbang lah juga hendaknya mereka ini, kerana mempunyai sepasang sayap.

Pada suatu masa, ketika pasukan dari mamalia ini mendapat kuasa dan memenangi banyak peperangan, maka datanglah kelawar ini kepada raja puak mamalia, untuk menunjukkan taat setia dan menyokong seratus peratus akan perjuangan mamalia sekalian. Setelah diperiksa, maka diterima lah kelawar ini kedalam puak mamalia, kerana sememangnya kelawar adalah mamalia. Kecuali mempunyai sayap, tiada bezalah kelawar ini dengan sekalian mamalia yang lainnya. Begitulah pada anggapan raja mamalia dan sekalian jeneral dan penasihat-penasihat raja.

Kemudian berlaku sesuatu yang tidak diduga, puak dari spesies burung telah melakukan serangan balas, dan peperangan telah bertukar arah. Serangan bertali arus dari udara, memaksa pasukan mamalia untuk berundur dan berlindung di hutan, maka peperangan pada kali itu, berpihak pada puak burung. Kehidupan di hutan adalah sangat susah, maka pergilah kelawar kepada puak burung.

Setelah bersusah payah memujuk, merayu, juga bertipu helah, maka berjumpalah kelawar dengan raja burung dan menyatakan niatnya untuk menyertai pihak burung. Dengan kapasitinya yang boleh terbang dan mempunyai sayap, maka diperkenankan lah kelawar oleh raja burung untuk menganggotai tentera-tentera burung semuanya. Dengan ini, hidup senang lah kelawar sekali lagi sebagai pihak yang menang.

Langit tidak selalu cerah, panas tidak sampai ke petang. Ketika burung-burung merasakan senang dengan kemenangan mereka, datanglah raja mamalia dengan sekalian angkatan tenteranya, menyerbu penempatan burung di bukit-bukit. Maka akibat dari serangan mengejut dan sangat pantas itu, larilah segala raja burung dan anggotanya yang masih selamat, untuk berlindung di gunung-gunung yang lebih tinggi. Kalah lah puak burung pada kali itu, dan ramailah yang terkorban dan menjadi tawanan kepada mamalia. Antara tawanan ini terdapat lah kelawar dan anggotanya yang tidak sempat untuk terbang bersama raja burung.

Namun demikian, dengan kelicikannya, dapatlah kelawar menipu raja mamalia agar diselamatkan nyawanya dan tidak dihukum sebagai pengkhianat. Atas dasar belas, dan mengenangkan yang kelawar ini masih lagi seekor mamalia, maka tidak dibunuhlah kelawar ini, maka selamatlah ia. Hidup lah kelawar dengan senang bersama puak mamalia yang menang.

Sekali lagi, tanpa disangka-sangka, burung telah menang perang lagi, berlindung lah sekali lagi raja dengan mamalia sekaliannya di dalam hutan, kecuali kelawar. Datang lah kelawar kepada raja burung pula, dan dengan helahnya diterimalah kembali dia kepada puak burung. Senanglah kembali kelawar ini.

Raja mamalia yang telah bersumpah untuk tak akan menyerah, telah sekali lagi menyerang dan mendapat kemenangan. Kelawar yang telah selesa dengan gaya hidupnya tidak lagi cuba untuk melarikan diri, tetapi dengan rela hati menyerah dan sekali lagi cuba mengambil kesempatan dari sifat belas raja mamalia. Pada nya, kali ini pun tentulah selamat nyawanya dan jika mamalia kalah lagi sekali pun, dia akan melakukan perkara yang sama dengan raja burung. Cukup yakin kelawar ini, bahawa dia akan diterima kembali.

Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Raja mamalia yang bijaksana sudah dapat menghidu akan perancangan licik dan jahat kelawar ini. Namun raja mamalia ini, sentiasa tinggi sifat belasnya, terutama kepada komrad-komrad mamalia sekaliannya. Daripada dibunuh, telah dihalau oleh raja mamalia akan kelawar ini, dan tidaklah ia diterima kedalam puak mamalia lagi, walaupun ia seekor haiwan mamalia. Terkejut dengan perkara ini, pergilah kelawar kepada burung, untuk meminta simpati.

Angkatan burung yang masih lagi cedera, lemah dan terkejut akibat dari kekalahan sekali ini, telah menerima kedatangan kelawar. Namun kali ini, raja burung yang sedang cedera itu menyedari sesuatu. Raja burung merasakan yang kelawar adalah haiwan pengkhianat. Tanpa banyak soal bicara, telah dihalaunya kelawar ini dari kalangan angkatan burung-burung sekaliannya. Berbeza dengan mamalia, burung-burung telah cuba untuk membunuhnya.

Maka larilah kelawar menyelamatkan diri dan bersembunyilah ia di dalam gua. Disana, sedihlah kelawar akan nasibnya dan tidak beranilah ia untuk meninggalkan tempat persembunyiaannya itu, takut-takut dijumpai burung akan dirinya. Hendak meminta perlindungan dari mamalia pun, sudah tidak boleh dilakukannya. Dengan itu, diamlah kelawar di dalam gua, dan menjadikan gua sebagai tempat tinggal hakikinya.

Teruslah bersembunyi kelawar ini didalam gua, dan hanya mencari makan ketika malam, pada waktu burung-burung telah balik ke sarang. Menjelang pagi pulang lah ia ke guanya cepat-cepat, takut terjumpa burung yang akan membunuh mereka.

Walau sesudah tamat perang, dan amanlah dunia ini, tidak lah bertukar akan rutin hidup kelawar. Sehinggalah kepada cucu-cicitnya ke hari ini.

Ini lah akibatnya, jika selalu bertukar-tukar sokongan dan bersikap mementingkan diri sendiri. Kelak tidak lagi dipercayai orang dan hidup lah dengan bersendirian.



Amacam, boleh ingat tak cerita kelawar, mamalia dan burung ini...mesti anda semua pernah dengar kan, atau membacanya dimana-mana...selamat terhibur.

1 comment: